KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
SUKATAN PELAJARAN
KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH MENENGAH
GEOGRAFI
PENDAHULUAN
Pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha berterusan untuk memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu supaya dapat melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan bermoral tinggi. Selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, mata pelajaran Geografi diwacanakan agar berupaya rakyat negara Malaysia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, kita perlu mewujudkan masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi, memandang jauh ke hadapan, berinovatif, berkebolehan untuk mengurus alam dan sumber secara optimum serta bertanggungjawab. Bagi mencapai hasrat ini, murid perlu dibentuk supaya menjadi warganegara yang kreatif dan kritis, berpengetahuan serta berupaya menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi.
Geografi merupakan mata pelajaran teras di peringkat Sekolah Menengah Rendah dan sebagai mata pelajaran elektif di peringkat Sekolah Menengah Atas. Mata pelajaran Geografi bertujuan untuk melengkapkan murid dengan pemahaman dan kemahiran asas geografi serta nilai-nilai kemanusiaan. Mata Pelajaran ini menyediakan murid menghadapi cabaran hidup ke arah mewujudkan kesejahteraan diri dan masyarakat. Mata pelajaran Geografi merupakan kesinambungan mata pelajaran Kajian Tempatan di sekolah rendah. Kandungan mata pelajaran Geografi adalah releven dengan kehidupan manusia.
Kandungan mata pelajaran Geografi digubal berdasarkan pemahaman bahawa bumi dan alam sekitarnya adalah ruangan kediaman manusia. Kandungan ini merangkumi kajian tentang interaksi manusia dengan alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Kajian ruangan merangkum pemahaman murid tentang Kemahiran Geografi, Geografi Fizikal danGeografi Manusia. Aspek-aspek ini dikaji dalam pelbagai komuniti di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.
Mata pelajaran Geografi juga memupuk nilai-nilai hidup yang harmonis dan sejahtera serta memupuk nilai amanah, bersyukur, kesederhanaan, bertanggungjawab, tidak mementingkan diri sendiri dan mencintai alam sekitar. Pemahaman murid tentang alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia dapat menerapkan semangat patriotik serta mewujudkan sensitiviti murid terhadap fenomena alam secara setempat dan global. Usaha ini selaras dengan matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
MATLAMAT
Kurikulum Geografi membolehkan murid memahami fenomena geografi berfokus kepada negara Malaysia dan hubungannya dengan negara-negara lain supaya dapat melahirkan murid yang berilmu, bertanggungjawab, bersyukur dan mengenali serta mencintai negara Malaysia .
OBJEKTIF
Kurikulum Geografi Sekolah Menengah membolehkan murid:
1. menghubungkan aspek kedudukan, arah, skala dan jarak dalam organisasi ruangan.
2. mengumpul, menyusun, menganalisis dan menyampaikan data geografi berbentuk kuantitatif dan kualitatif.
3. memberi pendapat secara kreatif dan kritis, mengenal pasti dan mengkaji masalah semasa daripada aspek geografi serta membuat keputusan dengan bertanggungjawab.
4. menjelaskan fenomena alam dan saling kaitannya dengan manusia berasaskan taburan dan pola-pola yang wujud di negara Malaysia dan negara-negara lain.
5. mengenal pasti cara hidup dan budaya pelbagai komuniti di negara lain serta menghargai ciri-ciri persamaan dan kelainannya.
6. memerihalkan keadaan saling memerlukan dalam sistem alam, kegiatan ekonomi, sosial dan politik antara satu negara dengan negara lain.
7. menerangkan kesan kegiatan manusia ke atas alam sekitar serta pentingnya menguruskan alam dan sumber dengan bertanggungjawab dan bijaksana.
8. mengenali, menghargai dan berbangga terhadap ciri-ciri geografi negara Malaysia yang istimewa dan unik.
9. menggabungkan pelbagai fakta geografi dan dapat membuat kesimpulan yang rasional.
10. mensyukuri dan mencintai alam, bersederhana dan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan dan peka terhadap perasaan serta keperluan orang lain.
ORGANISASI KURIKULUM
Sukatan Pelajaran Geografi digubal berasaskan tiga komponen berikut:
1. Pemahaman Geografi
Bumi sebagai ruangan kediaman dan kegiatan manusia
Kaitan dan interaksi manusia dengan alam sekitar menghasilkan pelbagai organisasi ruangan yang boleh dikaji
berasaskan proses, taburan dan pola. Penegasan diberi kepada beberapa konsep asas organisasi ruangan
seperti kedudukan, arah, skala, jarak, lingkungan pengaruh, pergerakan dan perubahan.
Proses interaksi antara manusia dengan alam sekitar melalui kegiatan ekonomi, sosial dan politik menimbulkan
isu-isu ruangan. Keperluan bekerjasama antara manusia diberi penekanan bagi menghadapi cabaran tersebut.
isu-isu ruangan. Keperluan bekerjasama antara manusia diberi penekanan bagi menghadapi cabaran tersebut.
Manusia sentiasa berusaha meneroka kawasan baru untuk kesejahteraan hidup.
2. Perkembangan Kemahiran
Pemahaman idea dan konsep utama tentang alam sekitar dilakukan melalui pelbagai aktiviti termasuk kerja
amali.
Proses pengajaran dan pembelajaran ( P&P ) yang mementingkan perkembangan kemahiran geografi dan
aplikasinya seperti kemahiran mencerap, merekod, menyusun, menganalisis, mentafsir, menilai, meramal
dan menyampaikan maklumat diberi penekanan.
Kandungan mata pelajaran Geografi disusun mengikut tema dengan memberi perhatian kepada
kesinambungan antara Geografi Fizikal dan Geografi Manusia serta saling kaitannya. Sebanyak lapan tema telah
dipilih dan setiap tema menggambarkan proses interaksi di antara manusia dengan alam sekitarnya. Semua
tema akan dipelajari pada peringkat Sekolah Menengah Rendah (SMR) dan Sekolah Menengah Atas (SMA).
Kajian dibuat berasaskan kawasan mengikut skala bermula dari kawasan setempat, negara, benua dan
seterusnya dunia untuk menunjukkan perkembangan konsep pola, taburan dan proses. Kajian juga
menegaskan ciri-ciri persamaan dan kelainan di antara negara Malaysia dengan kawasan yang dikaji.
Pada keseluruhannya, sukatan pelajaran ini menekankan pendekatan bercorak fungsional untuk
menggalakkan perkembangan kemahiran geografi. Pengajaran dan pembelajaran Kemahiran Geografi diberi
penekanan pada setiap peringkat dan kemahiran-kemahiran tersebut diaplikasikan dalam semua bidang kajian
geografi. Pengalaman pembelajaran mestilah berupaya untuk menghubungkaitkan aspek kedudukan, arah, skala,
jarak, taburan, fungsi. pola dan perubahannya dalam organisasi ruangan. Ini dilaksanakan melalui kajian
persekitaran murid. Untuk meluaskan orientasi pandangan murid, pelbagai cara hidup di beberapa kawasan
tertentu di dunia juga dikaji.
3. Unsur-unsur Patriotisme dan Pemupukan Nilai
Unsur-unsur patriotisme diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pemupukan nilai-nilai
murni berlandaskan hakikat bahawa manusia diamanahkan untuk mengurus alam dan sumber dengan
bertanggungjawab dan bijaksana. Semangat patriotik dipupuk berasaskan pemahaman bahawa kita perlu:
murni berlandaskan hakikat bahawa manusia diamanahkan untuk mengurus alam dan sumber dengan
bertanggungjawab dan bijaksana. Semangat patriotik dipupuk berasaskan pemahaman bahawa kita perlu:
- Mencintai negara Malaysia
- Bersatu dalam kepelbagaian
- Berusaha membangunkan negara Malaysia dan
- Mempertahankan negara Malaysia
KANDUNGAN
Kandungan kurikulum Geografi digubal berasaskan tiga bahagian iaitu:
Bahagian A – Kemahiran Geografi
Bahagian B – Geografi Fizikal dan Manusia
Bahagian C – Kajian Geografi Tempatan
Bahagian A – Kemahiran Geografi
Bahagian ini menekankan aspek Kemahiran Geografi dan dipelajari setiap tahun. Tajuk-tajuk yang dikaji adalah:
1. Kedudukan
2. Arah
3. Skala dan jarak
4. Graf, carta, rajah dan foto
5. Peta
6. Ketinggian
7. Keratan rentas
8. Pentafsiran peta topografi
Tajuk-tajuk di atas diolah bersesuaian dengan peringkat pembelajaran mengikut tingkatan. Pengajaran dan pembelajaran Kemahiran Geografi diaplikasikan dalam semua bahagian kajian geografi.
Bahagian B – Geografi Fizikal dan Manusia
Bahagian ini meliputi Gegrafi Fizikal dan Geografi Manusia berlandaskan lapan tema utama. Kajian Geografi Fizikal memberi tumpuan kepada proses fizikal yang berlaku dan bentuk muka bumi yang dihasilkan serta hubung kaitnya dengan kegiatan manusia. Kajian Geografi Manusia memberi tumpuan kepada interaksi antara manusia dengan manusia dan antara manusia dengan alam sekitar. Penekanan diberi kepada taburan dan pola yang wujud akibat perubahan pandang darat fizikal dan budaya dalam usaha manusia untuk kesejahteraan hidup. Kajian berfokus kepada negara Malaysia dengan membuat perbandingan dengan negara-negara lain daripada aspek persamaan dan kelainannya. Setiap tema mengandungi tajuk-tajuk tertentu:
1. Bentuk muka bumi dan potensinya
Bentuk muka bumi
Potensi dan halangan bentuk muka bumi kepada kegiatan manusia
Kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar
Sistem bumi
Proses pembentukan bentuk muka bumi
Perubahan pandang darat fizikal
Laut dan lautan
2. Cuaca dan iklim serta pengaruhnya
Pergerakan bumi di dalam sistem suria
Unsur-unsur cuaca dan iklim
Pengaruh cuaca dan iklim terhadap kegiatan manusia dan sebaliknya
3. Tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
Jenis dan taburan tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
Faktor-faktor yang mempengaruhi pelbagai tumbuh-tumbuhan semula jadi
Kepentingan tumbuh-tumbuhan semula jadi
Kesan kegiatan manusia terhadap tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
Pemeliharaan dan pemuliharaan tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar
4. Dinamik penduduk
Taburan penduduk
Pergerakan penduduk sebagai tindak balas terhadap faktor ekonomi, politik, sosial dan fizikal
Perubahan penduduk dan implikasinya terhadap keperluan kependudukan
Kesan perubahan penduduk terhadap alam sekitar
5. Petempatan dan perkembangannya
Kedudukan petempatan awal
Faktor yang mempengaruhi petempatan
Pola-pola petempatan
Fungsi petempatan
Pembandaran
6. Pengangkutan dan perhubungan
Keperluan pengangkutan dan perhubungan awal
Perkembangan jaringan pengangkutan dan perhubungan
Faktor yang mempengaruhi jaringan pengangkutan dan perhubungan
Kepentingan jaringan pengangkutan dan perhubungan
Kesan perkembangan pengangkutan dan perhubungan terhadap alam sekitar
7. Sumber
Sumber-sumber utama
Taburan pelbagai sumber
Kepentingan pelbagai sumber
Kesan penerokaan sumber terhadap alam sekitar
Pengurusan sumber
8. Kegiatan ekonomi
Kegiatan ekonomi utama
Faktor yang mempengaruhi
Sumbangan kegiatan ekonomi terhadap pembangunan negara
Kepentingan kerjasama ekonomi antarabangsa
Kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar
Langkah-langkah mengurangkan kesan kegiatan ekonomi terhadap alam sekitar
Fokus kajian bagi Tingkatan 1 ialah Tema 1 – 3, Tingkatan 2 ialah Tema 4 – 6 dan Tingkatan 3 ialah Tema 7 – 8. Bagi peringkat SMA (Tingkatan 4 dan 5), kajian merangkumi lapan tema yang telah dipelajari di peringkat SMR secara lebih mendalam lagi.
Bahagian C – Kajian Geografi Tempatan
Bahagian ini memerlukan murid menjalankan kajian di kawasan yang dipilih. Kajian berfokus kepada ciri-ciri geografi
di kawasan kajian selaras dengan tema yang dipelajari mengikut peringkat pembelajaran atau isu-isu geografi
semasa. Kajian juga bertujuan meluaskan persepsi murid terhadap keadaan persekitaran dan penguasaan
Kemahiran Geografi. Murid dapat mengaplikasi pengetahuan geografi dalam kajian yang dijalankan. Kajian Geografi
Tempatan dijalankan oleh semua murid di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
Dalam merancang dan melaksanakan kurikulum ini, tumpuan perlu diberi kepada pengembangan dan penguasaan kemahiran berfikir dan kemahiran belajar bagi membolehkan murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara rasional dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin kompleks. Kepelbagaian kecedersan murid perlu diambil kira bagi memperkukuh dan memperkaya pengalaman pembelajaran mereka dalam usaha membentuk manusia yang peka kepada isu atau permasalahan yang berlaku dan mampu membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalikan nya ke arah keharmonian dan kecemerlangan hidup. Di samping itu, kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi perlu dikuasai oleh murid supaya mereka menjadi generasi yang celik teknologi serta dapat memanfaatkan nya dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan hidup bersama.