Rabu, 8 Ogos 2012

Penghijaban Planet Musytari oleh bulan (Planetary Occultation)


Pada awal pagi 12 Ogos ini, rakyat Malaysia dan sekitarnya akan dapat menyaksikan sebuah fenomena langit yang jarang berlaku, iaitu planet Musytari akan ‘hilang’ buat beberapa seketika, dan ‘muncul’ kembali selepas itu!
Kenapa Musytari hilang?
Kehilangan buat beberapa ketika planet ini disebabkan Bulan akan bergerak di hadapannya selama beberapa ketika dan melindunginya dari pandangan mata kita. Kejadian ini boleh diibaratkan seperti mini-gerhana. Cuma kali ini pelakonnya ialah Musytari dan Bulan!
Dikenali sebagai Penghijaban Planet. Asalnya dalam bahasa inggeris ialah Planetary Occultation, cuma masalahnya penulis tidak menemui istilah rasmi dalam BM.  Kali terakhir ia berlaku ialah pada 23 Feb 2009. Menurut penulis yang telah menyaksikan bulan menghijab hanya separuh sahaja daripada jasad Musytari. Bagi yang berada ke utara sikit, mereka telah menyaksikan penghijaban yang penuh.
Boleh klik LINK ini untuk perbincangan di forum FO ketika fenomena 2009 tersebut.
Foto dibawah menunjukkan keadaan penghijaban yang sedang dalam proses berlaku ketika itu.
Penulis menggunakan perisian Astronomy, SkySafari, menunjukkan 2 senario yang berbeza untuk bagi anda di Semenanjung dan Sabah, Sarawak.
Pantai Barat Semenanjung
Bagi anda yang berada di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, ketika Bulan terbit di ufuk timur sekitar jam 2.30 pagi hari Ahad 12 Ogos 2012 nanti, Musytari sudah pun terlindung disebalik Bulan. Kelihatan di langit hanyalah Bulan sahaja. Namun, pada lebih kurang jam 3.05 pagi, secara tiba-tiba, akan muncul sinaran cahaya dari planet Musytari, dari bahagian Bulan yang gelap (Ketika itu, bulan berada di dalam fasa sabit tua).
Waktu di atas akan ada perbezaan sedikit, lebih kurang dalam seminit dua, di bandar-bandar berlainan.
Pantai Timur Semenanjung
Bagi anda yang berada di sekitar pantai timur pula, seperti Kelatan, Terengganu, Pahang, Johor, anda mungkin berpeluang melihat Musytari dan Bulan terbit bersama sekitar jam 2.17 pagi, dan pada jam 2.32 pagi Bulan akan mula menutupi Musytari. Ia akan muncul kembali sekitar jam 3 pagi.
Sarawak
Di Sarawak, kiraan penulis berdasarkan lokasi di Kuching, menunjukkan Bulan akan terbit sekitar jam 1.51 pagi. Ketika itu, Musytari berada di bawah Bulan (belum lagi terhijab). Pada lebih kurang 2.16 pagi, barulah Musytari perlahan-lahan semakin hilang dari pandangan, dan ia akan muncul kembali pada jam 3.15 pagi.
Sabah
Bagi anda di Kota Kinabalu, Sabah, anda juga bernasib baik kerana dapat melihat keseluruhan fasa hilang dan munculnya Musytari ini. Bulan akan terbit pada jam 1.20 pagi, dengan keadaan Musytari berada di bawah Bulan. Kemudian planet ini akan hilang pada jam 2.20 pagi dan muncul kembali pada jam 3.20 pagi.
Bagaimana cara melihatnya?
Disebabkan Musytari dan Bulan amat terang, ia boleh dilihat dengan MATA, tanpa sebarang masalah.
Jika anda ingin mengambil foto, penulis menyarankan guna DSLR yang lens-nya 300mm ke atas, agak bentuk Bulan lebih besar dan lebih jelas keadaannnya apabila Musytari hilang dan ketika ia muncul.
Sebagai contoh, foto di atas penulis menggunakan lens Tamron 300mm je.

Penulis ialah Shahrin Ahmad, pemilik Falak Online, merupakan seorang ahli astronomi amatur, penceramah dan penyelidik teknologi. Pengalaman beliau di dalam astronomi bermula sejak tahun 1984, dan kini giat mempopularkan ilmu astronomi menerusi tulisan blog, forum dan jemputan ceramah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan