Khamis, 7 Jun 2012

KEJORA DI LANGIT dan GERHANA SEPARA BULAN

Awal bulan Jun 2012, dua almanak telah berlaku di langit bumi. Pada 4 Jun berlakunya gerhana separa bulan dan 6 Jun berlakunya Transit Zuhrah/Venus.

Transit Zuhrah

GERHANA SEPARA BULAN
Penduduk di Asia Timur, Utara Amerika Barat, England dan Timur Kanada telah berpeluang melihat Gerhana Bulan Separa. Gerhana ini bermula dengan fasa penumbra pada jam 4.48 petang (waktu Malaysia), walau bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana tidak dapat dilihat  kerana Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan pada masa yang sama Bulan masih belum terbit lagi dari ufuk. Bulan mula memasuki bayang umbra Bumi pada jam 6.00 petang dan gerhana maksimum berlaku pada jam 7.04 malam.  Fenomena gerhana ini dapat disaksikan di Malaysia apabila Bulan mulai terbit pada jam 7.18 malam sehingga jam 9.18 malam.




TRANSIT ZUHRAH
Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi di mana planet Zuhrah melintas di antara Matahari dan Bumi dan dapat dilihat pada permukaan Matahari. Berikutan saiz Planet Zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’. Semasa transit, Planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu tompok kecil berwarna hitam atau ‘bulatan hitam kecil’ melintasi di hadapan permukaan Matahari jika dilihat menerusi penuras Matahari. Kita bagaikan melihat ‘begitulah kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.


Peristiwa astronomi ini sangat penting dan ia jarang berlaku. Transit Planet Zuhrah ini berlaku secara berpasangan dalam tempoh lapan tahun, tetapi dwi peristiwa ini hanya berlaku dalam tempoh kurang daripada seratus tahun atau satu abad sekali.

Fenomena seumpama ini pernah berlaku pada 8 Jun 2004 dan pada 6 Jun 2012 merupakan detik sejarah yang terakhir untuk abad ini dan ianya tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun kelak. Peristiwa seumpama ini akan berlaku semula pada abad yang akan datang sepertimana yang dijangkakan pada Disember 2117!!!
Menurut ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berdasarkan hitungan falak, sentuhan Planet Zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian. Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.  Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30 pagi, Planet Zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bintik hitam’ sudah berada di tengah laluan rentasannya. Planet Zuhrah akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah hari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan